Tuesday, April 17, 2012

Akta Rela: Kuasa bawa senjata api, tahan individu digugur



KUALA LUMPUR - Kuasa membawa senjata api dan kuasa untuk menahan serta memeriksa mana-mana individu yang disyaki pengganas, dan pendatang tanpa izin yang diperuntukkan kepada anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sebelum ini akan digugurkan apabila Rang Undang-Undang Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) 2012 dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn berkata, peraturan berkenaan merupakan antara skop kerja yang digugurkan bagi membolehkan Rela diletakkan sebagai organsasi yang relevan kepada masyarakat dan tuntutan masa.

"Kami bernasib baik mempunyai Rela. Ini merupakan aset dan seharusnya tidak dipandang ringan. Akan ada bidang tugas baru bagi mereka seperti kehadiran mereka untuk mengurangkan kadar jenayah dan pembabitan dalam Program Tansformasi Kerajaan (GTP).

"Dan kini dengan pengumuman pemansuhan Ordinan Darurat, Rela akan mempunyai strategi dan peranan penting (dalam keselamatan negara)," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Rang undang-undang Rela 2012 dijadual dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop bagi menggantikan Peraturan Perlu Ikatan Relawan Rakyat 1964 Pindaan 2005 yang akan berhenti berkuatkuasa pada 21 Jun 2012 selepas penarikan balik Proklamasi Darurat 1969.

Rang undang-undang itu mengandungi 10 perkara baru, antara lain memperuntukkan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk melantik ahli kehormat Rela dan bersekutu selain menggugurkan tugas dan peranan anggota Rela dan kuasa mengubah haluan kenderaan motor dan mengubah had minimum untuk menyertai Rela dari 16 tahun kepada 18 tahun.

Cadangan akta itu turut menyentuh mengenai kuasa Ketua Pengarah yang kini boleh mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan Rela atas keperluan penugasan berbanding kuasa sebelum ini yang hanya boleh menakrifkan kawasan Rela semasa kawasan tersebut diisytiharkan darurat.

Dalam rang undang-undang itu, Ketua Pengarah juga boleh mengeluarkan arahan tetap untuk apa-apa bentuk penugasan kepada anggota Rela.

Rang undang-undang itu turut memperincikan keperluan menjalani latihan oleh anggota dan peruntukan yang mewajibkan majikan untuk melepaskan pekerjanya yang merupakan anggota Rela bagi menjalani latihan.

Turut diperuntukkan mengenai keperluan membayar elaun kepada anggota semasa menjalani latihan dan menjalankan tugas selain turut menyentuh mengenai pemberian uniform kepada anggota dan pemulangan uniform sekiranya anggota berhenti atau diberhentikan.

Hishammudin berkata cadangan kepada akta baru itu akan dijadikan sebagai standard pelaksanaan operasi dalam tugasan harian seorang anggota Rela seperti rondaan kawasan selain membendung salah laku dan kuasa oleh anggota Rela.

Ketika ini terdapat 2.94 juta anggota Rela di seluruh negara dan kelahiran semula Rela perlu diberi sokongan oleh semua pihak, termasuk daripada segi undang-undang baru itu bagi membolehkan pasukan itu menjalankan tugas dengan sah, katany.

– Bernama