Monday, October 24, 2011

Cengkerang kupang cemar dua sungai


Pengusaha sekitar Senibong, Bakar Batu jejas rezeki nelayan

JOHOR BAHRU: Pengusaha kupang sekitar Senibong dan Bakar Batu di sini, digesa menghentikan kegiatan melupuskan cengkerang hidupan itu secara mudah dengan membuang ke dalam sungai.

Perbuatan membuang cengkerang atau kulit kupang yang sudah diambil isinya ke sungai menimbulkan masalah kepada nelayan yang mencari rezeki sekitar Sungai Tebrau dan Sungai Pelentong di sini,
Penduduk Kampung Bakar Batu, Nasir Khalid, 56, berkata tindakan pengusaha kupang membuang cengkerang kupang secara berterusan itu sudah membentuk longgokan besar di pinggir pulau timbul di antara  Sungai Tebrau dan Sungai Pelentong .
Biasanya mereka mengambil kupang segar dari kawasan ternakan di Senibong sebelum direbus di jeti sekitar Bakar Batu. Selepas dikopek dan diambil isi, kulit kupang dibuang begitu saja.

Sudah terlalu lama perbuatan ini dilakukan pengusaha terbabit, hinggakan kulit kupang yang dibuang sudah membentuk kelihatan seperti busut jika dipandang dari jauh.

Bila air pasang penuh, kulit kupang terbabit akan dibawa arus masuk ke sungai dan keadaan ini menimbulkan masalah pada nelayan yang menebar jala serta memasang jaring, katanya sambil menunjukkan lokasi cengkerang kupang dan lokan itu dibuang.

Nasir yang juga Ahli Jawatankuasa Cawangan UMNO Bakar Batu, berkata sisa kupang itu tidak seharusnya dibuang dan dibiarkan begitu saja, sebaliknya perlu ada satu kaedah tidak merosakkan keadaan semula jadi di dasar dan sisir sungai.

Sewajarnya ada kaedah pelupusan sisa kupang ini dan pengusaha terbabit perlu lebih bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka. Jika setiap hari, beberapa tong kulit kupang dibuang, apa akan jadi apabila keadaan itu berterusan selama bertahun-tahun.

Perbuatan ini juga menyebabkan kawasan pesisir kampungan nelayan dan pantai di sini dipenuhi sisa kulit kupang yang berpunca daripada sikap mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya sambil menggesa Jabatan Perikanan turut meneroka industri hiliran berasaskan cengkerang kupang terbabit.

Ahli kelab kayak, Haqqul Qayuum, 21, yang sering berlatih di  Sungai Tebrau dan Sungai Pelentong , menyifatkan perbuatan pihak tertentu melupuskan cengkerang kupang dengan membuangnya di kawasan terbabit sebagai perbuatan tidak bertanggung jawab.

Timbunan kulit kupang yang dibuang di tempat terbabit, makin lama semakin banyak hingga membusut di kawasan berkenaan.

"Pengusaha kupang itu jelas mementingkan keuntungan semata-mata tanpa prihatin terhadap alam sekitar dan masa sama, mengotorkan sungai," katanya.

Monday, October 17, 2011

Enakmen baru untuk kawasan rukun tetangga tak lama lagi

16/09/2011 6:48pm


KUALA LUMPUR 16 Sept – Enakmen baru bagi kawasan rukun tetangga (KRT) akan dibentang di Parlimen tidak lama bagi menggantikan enakmen sedia ada yang dibentangkan pada tahun 1975 di bawah Ordinan Darurat 1969.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, undang-undang baru itu juga akan meliputi Skim Rondaan Sukarela di bawah KRT.

"Kabinet bersetuju secara prinsipnya terhadap cadangan undang-undang baru ini, bagi mengukuhkan KRT dan SRS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi mengumumkan bahawa kerajaan akan membawa usul kepada Parlimen supaya tiga proklamasi darurat, termasuk Ordinan Darurat 1969, yang diisytihar dahulu dan dianggap masih berkuat kuasa sehingga kini, ditamatkan.

Tsu Koon berkata, beliau sudah mengatur perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung perkara itu. – Bernama

Kerajaan Gubal Akta Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menggubal akta baru untuk Rukun Tetangga (RT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi memperluaskan fungsi dan skop kedua-dua sistem itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Beliau berkata langkah mewujudkan undang-undang baru itu selaras perkembangan semasa dan penggubalannya perlu berikutan pemansuhan beberapa enakmen termasuk Ordinan Darurat.
"Sehubungan itu, kementerian mengalu-alukan cadangan semua pihak bagi meningkatkan keberkesanan RT dan SRS dalam akta yang akan digubal itu," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Dr Koh berkata kebanyakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan secara positif mengikut sasarannya sejak ditubuhkan pada 1975 mengikut Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 di bawah Ordinan Darurat 1969.
"KRT lebih menumpukan kepada pelbagai aktiviti yang dapat mempromosikan interaksi, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan, kejiranan, muhibbah, kerjasama, persefahaman, keharmonian dan perpaduan di kalangan penduduk di sesuatu kawasan," katanya.
Beliau berkata SRS, yang diperkenalkan mulai 2004, bertujuan melibatkan anggota jiran setempat membantu pihak polis menangani jenayah.
Katanya KRT dan SRS sentiasa sedia bekerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), persatuan penduduk dan badan-badan lain untuk meningkatkan keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan di kawasan berkenaan.
Bilangan KRT meningkat 37 peratus iaitu 5,456 pada Ogos lepas berbanding 3,995 pada awal 2009 manakala SRS bertambah daripada 1,248 kepada 2,698, meningkat 110 peratus, katanya.
"Ini merupakan dua rekod yang dicatat di bawah pentadbiran baru di bawah inisiatif-inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP)," katanya. -BERNAMA