Wednesday, January 30, 2013

Namakan Isteri jadi pembekal, Pegawai Rela diperjara sehari, denda RM25,000



KUCHING - Seorang pegawai Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang meletakkan nama isterinya sebagai pembekal makanan dan minuman untuksatu sesi taklimat kelolaan pasukan itu, hari ini menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini.
 
Sekiranya gagal membayar denda itu, Mohd Zaini Azilah perlu menjalani hukuman penjara enam bulan.
 
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas Mohd Zaini, 48, mengaku bersalah menggunakan jawatannya bagi mendapatkan kelulusan bekalan itu pada 17 Disember 2010 di pejabat Rela Negeri Sarawak di sini.
 
Bekalan bernilai RM4,910.40 itu telah diluluskan Pengarah Rela Sarawak pada 20 Disember 2010.
 
Bekas tentera itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
   
Mengikut kertas pendakwaan dibentangkan Pegawai Pendakwa SPRM, Othman Anyan, tertuduh telah menggunakan jawatannya sebagai Pegawai Rela Daerah Pedawan untuk mengemukakan satu permohonan membekal makanan dan minuman bagi satu sesi taklimat Rela menggunakan nama isterinya.
 
Berikutan aduan dibuat pejabat Rela Sarawak kepada SPRM selepas kelulusan itu, satu siasatan telah dibuat dan Mohd Zaini diberkas pada 25 Jan lepas sebelum dihadapkan ke mahkamah hari ini.
 
Terdahulu, Mohd Zaini memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan ia merupakan kesalahan pertamanya.
 
Menurutnya dia sebelum ini tidak mengetahui telah melakukan kesalahan rasuah dengan menamakan isterinya sendiri untuk memohon menjadi pembekal untuk badan awam itu.
 
"Jika saya tahu awal-awal lagi ini salah, saya tidak akan buat perkara ini," katanya.  - Bernama

Monday, January 7, 2013

Kempen 1 Rumah 1 Komputer



Kempen 1 Rumah 1 Komputer

Syarat2 penerimaan Komputer 1Malaysia melaluai inisiatif Jalur lebar Negara Seperti berikut:

1. Penerima dikehendaki mendaftar salah SATU daripada pakej langganan jalur lebar selama
SETAHUN seperti di bawah;

a) Pakej 1 – Langganan jalur lebar tidak lebih dari RM25 sebulan

b) Pakej 2 – Langganan jalur lebar komersil yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan tertakluk pada syarat-syarat syarikat berkenaan

*Jika penerima sudah melanggan pakej jalur lebar di kediaman, haruslah disertakan bil langganan sebagai bukti untuk pengesahan

2. Penerima adalah warganegara Malaysia.

3. Pendapatan bulanan isi rumah untuk setiap penerima mestilah TIDAK melebihi daripada RM
3,000.00 sebulan.

4. Setiap kediaman (rumah) hanya diperuntukkan sebanyak 1 (satu) komputer sahaja.

5. Penerima perlu memahami syarat-syarat penerimaan dan mengisi borang permohonan
Komputer 1Malaysia dengan lengkap dan jelas untuk melayakkan penerimaan Komputer
1Malaysia. Maklumat yang diberikan haruslah tepat dan betul.

6. Penerima diwajibkan HADIR semasa menerima, mengambil dan menghantar borang permohonan Komputer 1Malaysia.

7. Penerima dengan status pelajar perlu mendapatkan tandatangan ibu / bapa / penjaga untuk melayakkan penerimaan Komputer 1Malaysia.

8. Borang permohonan yang diisi hendaklah disahkan oleh Guru Besar/Pengetua/Dekan bagi sekolah/kolej/universiti masing-masing.

9. Penerima dimestikan hadir membawa bersama kad pengenalan ASAL berserta borang yang
lengkap diisi serta disahkan oleh Guru Besar / Pengetua / Dekan semasa datang mengambil komputer untuk tujuan pengesahan.

10. Adalah menjadi tanggungjawab penerima untuk melaporkan sebarang kerosakan komputer kepada pengedar (seperti yang tertera pada pelekat di komputer).

11. Penerima haruslah memastikan penggunaan komputer tidak disalahgunakan dan bebas daripada penyebaran virus, pornografi, perkauman, kebencian & hasutan, bahan yang diharamkan, politik atau isi kandungan yang menyalahi undang-undang Malaysia.

12. Sekiranya penerima gagal mematuhi syarat-syarat seperti di atas serta maklumat yang diberikan didapati palsu dan tidak lengkap, pemberian komputer akan ditarik balik.

13. Penerima hendaklah menjaga komputer yang diterima dengan baik dan tidak menjual atau memberi kepada orang lain.

14. Komputer yang diterima TIDAK boleh dijual beli. Tindakan tegas akan diambil terhadap
penerima yang terlibat dalam urusniaga jual beli komputer yang diterima.