Tuesday, March 5, 2013

'Hanya tekan 1 butang'



JOHOR BAHRU - Polis Johor memperkenalkan aplikasi sistem bantuan kecemasan yang berfungsi untuk melaporkan sebarang kejadian termasuk jenayah dan kemalangan dalam tempoh lima saat, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, aplikasi dikenali sebagai ‘Community Alerts’ itu bertujuan mempercepatkan proses menyelamat dan mampu menerima maklumat tepat sesuatu kejadian menerusi teknologi berkenaan dengan hanya menekan satu butang.

Menurutnya, cara menggunakannya juga mudah iaitu pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi tersebut dengan mengisi butiran yang diminta dan sekiranya berlaku kecemasan mereka hanya perlu menekan butang SOS yang tertera di telefon bimbit mereka.

“Dengan menekan butang tersebut, segala maklumat yang diperlukan seperti lokasi tempat kejadian dan nama pengguna akan dihantar ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Kontinjen Johor untuk tindakan lanjut.

“Cara lama melaporkan sesuatu kejadian adalah dengan membuat panggilan kepada pengendali dan memberikan maklumat lokasi dan insiden yang berlaku. Sekiranya ada pengguna yang gugup sebagai contoh mereka tidak mungkin dapat bercakap dengan betul.

“Namun, dengan adanya aplikasi ini, ia menjadi cara baru melaporkan sebarang kejadian dengan hanya menekan satu butang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran sistem berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, semalam.

Hadir merasmikan aplikasi sistem ‘Community Alerts’ adalah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

‘Community Alerts’ itu dibangunkan hasil sumbangan beberapa syarikat seperti Johor Corporations, UEM Land Holdings Bhd, Iskandar Investment Bhd dengan kerajaan negeri menerusi tanggungjawab sosial korporat mereka.

Ia dibangunkan oleh syarikat pembangunan perisian iaitu Global Forway Sdn Bhd dan Wiseyes Solutions Sdn Bhd.

Buat masa ini, ‘Community Alerts’ menyokong dua platform mudah alih yang popular iaitu Apple IOS (Iphone, Ipad, Ipod Touch) dan OS Google Android (telefon mudah alih dan tablet), manakala sedang mereka sokongan kepada Blackberry dan Windows.

Muat naik app Android & IOS di
http://www.wiseyes.net


Oleh: MOHD FIRDAUS YON
Tarikh: March 3, 2013