Komuniti Kg Bakar Batu, Johor Baharu Malaysia : Layari kami | Visit Us; www.bakarbatu.my
Monday, October 24, 2011
Cengkerang kupang cemar dua sungai
Pengusaha sekitar Senibong, Bakar Batu jejas rezeki nelayan
JOHOR BAHRU: Pengusaha kupang sekitar Senibong dan Bakar Batu di sini, digesa menghentikan kegiatan melupuskan cengkerang hidupan itu secara mudah dengan membuang ke dalam sungai.
Perbuatan membuang cengkerang atau kulit kupang yang sudah diambil isinya ke sungai menimbulkan masalah kepada nelayan yang mencari rezeki sekitar Sungai Tebrau dan Sungai Pelentong di sini,
Penduduk Kampung Bakar Batu, Nasir Khalid, 56, berkata tindakan pengusaha kupang membuang cengkerang kupang secara berterusan itu sudah membentuk longgokan besar di pinggir pulau timbul di antara Sungai Tebrau dan Sungai Pelentong .
Biasanya mereka mengambil kupang segar dari kawasan ternakan di Senibong sebelum direbus di jeti sekitar Bakar Batu. Selepas dikopek dan diambil isi, kulit kupang dibuang begitu saja.
Sudah terlalu lama perbuatan ini dilakukan pengusaha terbabit, hinggakan kulit kupang yang dibuang sudah membentuk kelihatan seperti busut jika dipandang dari jauh.
Bila air pasang penuh, kulit kupang terbabit akan dibawa arus masuk ke sungai dan keadaan ini menimbulkan masalah pada nelayan yang menebar jala serta memasang jaring, katanya sambil menunjukkan lokasi cengkerang kupang dan lokan itu dibuang.
Nasir yang juga Ahli Jawatankuasa Cawangan UMNO Bakar Batu, berkata sisa kupang itu tidak seharusnya dibuang dan dibiarkan begitu saja, sebaliknya perlu ada satu kaedah tidak merosakkan keadaan semula jadi di dasar dan sisir sungai.
Sewajarnya ada kaedah pelupusan sisa kupang ini dan pengusaha terbabit perlu lebih bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka. Jika setiap hari, beberapa tong kulit kupang dibuang, apa akan jadi apabila keadaan itu berterusan selama bertahun-tahun.
Perbuatan ini juga menyebabkan kawasan pesisir kampungan nelayan dan pantai di sini dipenuhi sisa kulit kupang yang berpunca daripada sikap mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya sambil menggesa Jabatan Perikanan turut meneroka industri hiliran berasaskan cengkerang kupang terbabit.
Ahli kelab kayak, Haqqul Qayuum, 21, yang sering berlatih di Sungai Tebrau dan Sungai Pelentong , menyifatkan perbuatan pihak tertentu melupuskan cengkerang kupang dengan membuangnya di kawasan terbabit sebagai perbuatan tidak bertanggung jawab.
Timbunan kulit kupang yang dibuang di tempat terbabit, makin lama semakin banyak hingga membusut di kawasan berkenaan.
"Pengusaha kupang itu jelas mementingkan keuntungan semata-mata tanpa prihatin terhadap alam sekitar dan masa sama, mengotorkan sungai," katanya.
Labels:
Berita Kampung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment