Wednesday, November 6, 2013

Maklumat Penting Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 3.0) 2014


Pendahuluan

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Pada tahun lepas, BRIM 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini sebanyak RM250.

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300. Buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Menerusi Bajet 2014, kadar pemberian BR1M 3.0 telah dipertingkatkan dan diperluaskan.
  • Bagi isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan kebawah, kadar pemberian dipertingkatkan kepada RM650.
  • Isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 hingga RM4,000 turut menerima BR1M pada kadar RM450.
  • Bagi individu bujang yang bekerja dan berpendapatan bulanan RM2000 dan kebawah, layak menerima bantuan RM300.

Syarat-syarat Kelayakan Pemberian BR1M 2014.

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur 21 Tahun Keatas
  • Isi Rumah Berpendapatan Bulanan RM3,000 dan Kebawah
  • Isi Rumah Berpendapatan Bulanan RM3,000- RM4,000
  • Individu Bujang yang Berpendapatan Bulanan RM2,000 dan kebawah

Caruman Takaful

Caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 akan diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Permohonan BR1M 3.0 Secara Online

Muat turun (download) Borang pendaftaran BR1M 3.0 boleh didapatkan dilaman berikut:
  1. http://www.hasil.gov.my/
  2. http://www.treasury.gov.my/
Nota Penting: Setakat ini permohonan BR1M 3.0 secara online masih belum dibuka dan dijangka akan dibuka pada minggu ketiga bulan November 2013.

Wa Allahu'alam..

Tuesday, March 5, 2013

'Hanya tekan 1 butang'



JOHOR BAHRU - Polis Johor memperkenalkan aplikasi sistem bantuan kecemasan yang berfungsi untuk melaporkan sebarang kejadian termasuk jenayah dan kemalangan dalam tempoh lima saat, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, aplikasi dikenali sebagai ‘Community Alerts’ itu bertujuan mempercepatkan proses menyelamat dan mampu menerima maklumat tepat sesuatu kejadian menerusi teknologi berkenaan dengan hanya menekan satu butang.

Menurutnya, cara menggunakannya juga mudah iaitu pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi tersebut dengan mengisi butiran yang diminta dan sekiranya berlaku kecemasan mereka hanya perlu menekan butang SOS yang tertera di telefon bimbit mereka.

“Dengan menekan butang tersebut, segala maklumat yang diperlukan seperti lokasi tempat kejadian dan nama pengguna akan dihantar ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Kontinjen Johor untuk tindakan lanjut.

“Cara lama melaporkan sesuatu kejadian adalah dengan membuat panggilan kepada pengendali dan memberikan maklumat lokasi dan insiden yang berlaku. Sekiranya ada pengguna yang gugup sebagai contoh mereka tidak mungkin dapat bercakap dengan betul.

“Namun, dengan adanya aplikasi ini, ia menjadi cara baru melaporkan sebarang kejadian dengan hanya menekan satu butang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran sistem berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, semalam.

Hadir merasmikan aplikasi sistem ‘Community Alerts’ adalah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

‘Community Alerts’ itu dibangunkan hasil sumbangan beberapa syarikat seperti Johor Corporations, UEM Land Holdings Bhd, Iskandar Investment Bhd dengan kerajaan negeri menerusi tanggungjawab sosial korporat mereka.

Ia dibangunkan oleh syarikat pembangunan perisian iaitu Global Forway Sdn Bhd dan Wiseyes Solutions Sdn Bhd.

Buat masa ini, ‘Community Alerts’ menyokong dua platform mudah alih yang popular iaitu Apple IOS (Iphone, Ipad, Ipod Touch) dan OS Google Android (telefon mudah alih dan tablet), manakala sedang mereka sokongan kepada Blackberry dan Windows.

Muat naik app Android & IOS di
http://www.wiseyes.net


Oleh: MOHD FIRDAUS YON
Tarikh: March 3, 2013

Wednesday, January 30, 2013

Namakan Isteri jadi pembekal, Pegawai Rela diperjara sehari, denda RM25,000



KUCHING - Seorang pegawai Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang meletakkan nama isterinya sebagai pembekal makanan dan minuman untuksatu sesi taklimat kelolaan pasukan itu, hari ini menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini.
 
Sekiranya gagal membayar denda itu, Mohd Zaini Azilah perlu menjalani hukuman penjara enam bulan.
 
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas Mohd Zaini, 48, mengaku bersalah menggunakan jawatannya bagi mendapatkan kelulusan bekalan itu pada 17 Disember 2010 di pejabat Rela Negeri Sarawak di sini.
 
Bekalan bernilai RM4,910.40 itu telah diluluskan Pengarah Rela Sarawak pada 20 Disember 2010.
 
Bekas tentera itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
   
Mengikut kertas pendakwaan dibentangkan Pegawai Pendakwa SPRM, Othman Anyan, tertuduh telah menggunakan jawatannya sebagai Pegawai Rela Daerah Pedawan untuk mengemukakan satu permohonan membekal makanan dan minuman bagi satu sesi taklimat Rela menggunakan nama isterinya.
 
Berikutan aduan dibuat pejabat Rela Sarawak kepada SPRM selepas kelulusan itu, satu siasatan telah dibuat dan Mohd Zaini diberkas pada 25 Jan lepas sebelum dihadapkan ke mahkamah hari ini.
 
Terdahulu, Mohd Zaini memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan ia merupakan kesalahan pertamanya.
 
Menurutnya dia sebelum ini tidak mengetahui telah melakukan kesalahan rasuah dengan menamakan isterinya sendiri untuk memohon menjadi pembekal untuk badan awam itu.
 
"Jika saya tahu awal-awal lagi ini salah, saya tidak akan buat perkara ini," katanya.  - Bernama

Monday, January 7, 2013

Kempen 1 Rumah 1 Komputer



Kempen 1 Rumah 1 Komputer

Syarat2 penerimaan Komputer 1Malaysia melaluai inisiatif Jalur lebar Negara Seperti berikut:

1. Penerima dikehendaki mendaftar salah SATU daripada pakej langganan jalur lebar selama
SETAHUN seperti di bawah;

a) Pakej 1 – Langganan jalur lebar tidak lebih dari RM25 sebulan

b) Pakej 2 – Langganan jalur lebar komersil yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan tertakluk pada syarat-syarat syarikat berkenaan

*Jika penerima sudah melanggan pakej jalur lebar di kediaman, haruslah disertakan bil langganan sebagai bukti untuk pengesahan

2. Penerima adalah warganegara Malaysia.

3. Pendapatan bulanan isi rumah untuk setiap penerima mestilah TIDAK melebihi daripada RM
3,000.00 sebulan.

4. Setiap kediaman (rumah) hanya diperuntukkan sebanyak 1 (satu) komputer sahaja.

5. Penerima perlu memahami syarat-syarat penerimaan dan mengisi borang permohonan
Komputer 1Malaysia dengan lengkap dan jelas untuk melayakkan penerimaan Komputer
1Malaysia. Maklumat yang diberikan haruslah tepat dan betul.

6. Penerima diwajibkan HADIR semasa menerima, mengambil dan menghantar borang permohonan Komputer 1Malaysia.

7. Penerima dengan status pelajar perlu mendapatkan tandatangan ibu / bapa / penjaga untuk melayakkan penerimaan Komputer 1Malaysia.

8. Borang permohonan yang diisi hendaklah disahkan oleh Guru Besar/Pengetua/Dekan bagi sekolah/kolej/universiti masing-masing.

9. Penerima dimestikan hadir membawa bersama kad pengenalan ASAL berserta borang yang
lengkap diisi serta disahkan oleh Guru Besar / Pengetua / Dekan semasa datang mengambil komputer untuk tujuan pengesahan.

10. Adalah menjadi tanggungjawab penerima untuk melaporkan sebarang kerosakan komputer kepada pengedar (seperti yang tertera pada pelekat di komputer).

11. Penerima haruslah memastikan penggunaan komputer tidak disalahgunakan dan bebas daripada penyebaran virus, pornografi, perkauman, kebencian & hasutan, bahan yang diharamkan, politik atau isi kandungan yang menyalahi undang-undang Malaysia.

12. Sekiranya penerima gagal mematuhi syarat-syarat seperti di atas serta maklumat yang diberikan didapati palsu dan tidak lengkap, pemberian komputer akan ditarik balik.

13. Penerima hendaklah menjaga komputer yang diterima dengan baik dan tidak menjual atau memberi kepada orang lain.

14. Komputer yang diterima TIDAK boleh dijual beli. Tindakan tegas akan diambil terhadap
penerima yang terlibat dalam urusniaga jual beli komputer yang diterima.