Thursday, April 17, 2014

11 penduduk tuntut ganti rugi



JOHOR BAHRU - Seramai 11 penduduk Kampung Tok Siak Mukim Plentong, di sini memfailkan writ saman kepada tiga syarikat pemaju menerusi peguam, Hassan Karim.

Writ saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, di sini sekitar jam 9 pagi semalam bertujuan untuk menuntut pampasan bagi kerugian akibat banjir yang didakwa berpunca daripada pembinaan perumahan yang dijalankan pemaju berhampiran perkampungan yang berusia 100 tahun itu.

Pihak defendan itu membabitkan Tebrau Teguh Berhad, Bayou Bay Development Sendirian Berhad dan Selia Pantai Sendirian Berhad.

Pihak plaintif pula adalah Mat Amir,74; Radiah Karyadi, 47; Raudzah Sheikh Salleh,29; Saodah Jasman, 55; Siti Hariah Maarof, 72; Dora Daud,52;  Mormadiah Sareh,46;  Noridah Yaakub, 65; Suminah Sarjo, 67; Halilah Daud, 48 dan Mohd Adnan Subakir, 41.

Hassan berkata, pihaknya memfailkan writ saman bagi lima jenis tuntutan kerugian iaitu kerugian am, kerugian khas, kerugian tauladan dan kerugian teruk.

Menurutnya, penduduk mendakwa mereka tidak pernah untuk menolak pembangunan, namun mereka tertekan apabila terpaksa menanggung banyak kerugian selepas perkampungan diancam banjir kilat sejak empat tahun lalu.

“Banjir kilat yang paling buruk berlaku pada Jun dan Julai 2010, manakala kejadian terbaru berlaku Isnin lalu,” katanya, semalam.

Hassan berkata, jumlah tuntutan masih belum ditetapkan lagi dan mahkamah akan menetapkan tarikh untuk perbicaraan selepas pengurusan kes.

Dalam pada itu, plaintif, Halilah, 48, mendakwa, masalah banjir kilat berserta lumpur menyusahkan penduduk kerana mengalami kehilangan harta benda termasuk kerosakan pada kereta.

“Kami nak hak kami dan dapat hidup dengan aman damai," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/11-penduduk-tuntut-ganti-rugi-1.271442