Saturday, July 30, 2011

AJK Masjid Diingatkan Supaya Kekalkan Masjid Bebas Pengaruh Politik

KLANG, 29 Julai (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Jumaat mengingatkan Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid di negeri ini supaya mematuhi arahan Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar masjid kekal sebagai rumah ibadat dan berkecuali dari segala pengaruh politik dan pihak yang berkepentingan.

"Sebab itulah mereka yang ingin menjadi nazir, imam dan penceramah di masjid-masjid di negeri Selangor ini perlu mendapat tauliah daripada JAIS," titah baginda di Majlis Perasmian Masjid At-Taqwa Kampung Bukit Kapar di sini Jumaat.

Sultan Sharafuddin juga bertitah Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid hendaklah sentiasa bersikap amanah, berwibawa dan profesional serta dapat bekerjasama erat bagi merangka program yang boleh memakmurkan masjid.

Aktiviti yang dirancang hendaklah berfaedah dan bermanfaat serta melibatkan semua golongan masyarakat daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas, titah baginda.

Baginda bertitah program-program khas untuk sesuatu golongan itu perlu sentiasa mempunyai unsur pendidikan, motivasi serta memberikan pengalaman dan pengajaran betapa indahnya Islam jika benar-benar diamalkan oleh para penganutnya.

Sultan Sharafuddin juga mengingatkan rakyat mengenai sambutan Hari Pahlawan pada Ahad ini, iaitu hari mengingati jasa perajurit dan mereka yang telah gugur di medan perjuangan kerana menjaga keselamatan, ketenteraman dan keharmonian negara.

"Pahlawan-pahlawan yang gugur ini telah berkorban nyawa terutamanya melawan pengganas-pengganas komunis yang cuba memecah belahkan keharmonian negara kita yang dikasihi ini," titah baginda.

Baginda bertitah bukannya mudah untuk mendapatkan kemerdekaan dan keamanan kerana ia memerlukan pengorbanan dan kerjasama daripada semua kaum di negara ini.

Justeru, baginda bertitah supaya keamanan dan perpaduan yang telah dibina janganlah dihancurkan, sebaliknya hendaklah dipereratkan lagi demi kemajuan dan nama baik negeri Selangor dan Malaysia yang disayangi.

"Janganlah hanya kerana kepentingan peribadi, keamanan dan keharmonian negara ini hancur dan rakyat hidup menderita," titah baginda.

Masjid At-Taqwa mulanya dibina pada 1969 tetapi kemudian dibina semula pada 2007 berikutan peningkatan jemaah dan ia siap sepenuhnya pada 4 Sept 2009 dengan kos RM6.4 juta.

No comments:

Post a Comment