Wednesday, November 23, 2011

100 murid SK Tebrau Bakar Batu terima bantuan persekolahan MRCB

SHAHARUDDIN Mohamed (berdiri belakang, kiri) dan Mok Chek Hou (baju biru) bersama murid SK Tebrau Bakar Batu di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 23 Nov. - Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) menyumbang beberapa peralatan sekolah berupa beg dan kasut kepada 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tebrau, Bakar Batu, di sini hari ini.

Sumbangan itu diserahkan pada Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Tokoh Murid dan Projek Pemimpin Muda MRCB 2011 bagi meringankan beban keluarga murid-murid tersebut.

Ia disampaikan Pengarah Projek MRCB, Shaharuddin Mohamed. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Mok Chek Hou dan guru besar sekolah berkenaan, Kamilan Elias.

Selepas majlis itu, Chek Hou turut merasmikan gelanggang futsal sekolah tersebut yang dibina dengan kos RM150,000 sumbangan MRCB untuk kegunaan dan kemudahan murid-murid.

Shaharuddin berkata, gelanggang itu diharap dapat dimanfaatkan untuk aktiviti sukan dan kokurikulum sekolah tersebut yang sebelum ini tidak mempunyai kemudahan berkenaan.

"Kita berharap murid-murid SK Tebrau bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga pencapaian sukan," katanya yang juga Pengarah Program Tanggungjawab Sosial Korporat MRCB.

Sementara itu, Chek Hou meminta MRCB yang menjadikan sekolah tersebut sebagai anak angkat agar menaik taraf kemudahan dan peralatan di situ yang berada dalam keadaan daif.

Beliau berharap bantuan dan sumbangan itu akan berterusan walaupun projek MRCB akan siap tidak lama lagi kerana sekolah tersebut masih memerlukan banyak perhatian.

No comments:

Post a Comment