Komuniti Kg Bakar Batu, Johor Baharu Malaysia : Layari kami | Visit Us; www.bakarbatu.my
Sunday, August 14, 2011
Tragedi sahur
JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Tebrau Bakar Batu, di sini, gempar selepas juadah enak yang sedang dinikmati ketika bersahur terbantut dengan kebakaran melibatkan dua rumah dan mengorbankan nyawa seorang lelaki, awal pagi semalam.
Kejadian sekitar jam 5.25 pagi itu dipercayai bermula dari rumah mangsa, Sabtu Hussin, 57, sebelum ia merebak ke rumah bersebelahan yang didiami oleh anak saudara mangsa bersama suami dan dua cahaya mata.
Bagaimanapun, anak saudaranya, Sapiah Wan Hitam, 37, sekeluarga berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran yang hampir meragut nyawa mereka.
Kakak mangsa, Ramlah Hussin, 61, berkata, dia yang tinggal berhampiran dengan rumah pusaka yang didiami mangsa dimaklumkan berhubung kejadian menerusi panggilan telefon oleh anak perempuannya.
“Ketika kejadian, saya baru selesai bersahur dan sedang mengemas dapur. Ketika itu, saya menerima panggilan salah seorang anak saya memaklumkan kejadian kebakaran ini.
“Sebaik sahaja saya sampai di lokasi kejadian, rumah yang didiami arwah (Sabtu) sudah hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Ramlah berkata, Sabtu yang merupakan anak kelima daripada 12 adik-beradik itu tinggal di rumah pusaka peninggalan ibu bapa mereka secara seorang diri sejak bercerai dengan isterinya beberapa tahun lalu.
Katanya, adiknya itu yang pernah memandu teksi sebelum ini terpaksa berhenti kerja akibat daripada penyakit tibi tulang yang dihidapinya.
“Walaupun sedih dengan kematian adik saya, namun saya juga bersyukur kerana Sapiah, menantu dan dua cucu terselamat dalam kebakaran ini.
“Pilu juga hati mendengar rintihan Sapiah mengatakan wang tunai berjumlah RM1,000 diterima untuk persiapan hari raya dari suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut hangus terbakar,” katanya.
Anak saudara mangsa, Wan Suhaimi Wan Hitam, 38, berkata, hatinya rasa sedih melihat keadaan mangsa (Sabtu) yang rentung hangus terbakar selepas bomba berjaya memadamkan api.
“Sayu hati apabila terlihat rambut dan anggota badan mangsa yang terbakar dalam kejadian ini. Saya amat mengenali gaya tidur mengiringnya sebaik sahaja bomba selesai memadamkan api.
“Adik perempuan (Sapiah) berserta suami dan jiran cuba untuk membantu arwah, namun api marak begitu cepat membakar keseluruhan dua buah rumah dalam masa singkat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Johor Bahru, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Raja Saiful Iswandy Raja Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.28 pagi.
Katanya, api berjaya dikawal jam 5.42 pagi dan dipadamkan sepenuhnya jam 7.30 pagi.
“Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian ruang utama rumah sebelum ia merebak. Mayat mangsa ditemui terbaring di atas katil biliknya,” katanya.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat.
Sinar Harian
14 Ogos 2011
Labels:
Berita Kampung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment