Komuniti Kg Bakar Batu, Johor Baharu Malaysia : Layari kami | Visit Us; www.bakarbatu.my
Monday, October 24, 2011
Cengkerang kupang cemar dua sungai
Pengusaha sekitar Senibong, Bakar Batu jejas rezeki nelayan
JOHOR BAHRU: Pengusaha kupang sekitar Senibong dan Bakar Batu di sini, digesa menghentikan kegiatan melupuskan cengkerang hidupan itu secara mudah dengan membuang ke dalam sungai.
Perbuatan membuang cengkerang atau kulit kupang yang sudah diambil isinya ke sungai menimbulkan masalah kepada nelayan yang mencari rezeki sekitar Sungai Tebrau dan Sungai Pelentong di sini,
Penduduk Kampung Bakar Batu, Nasir Khalid, 56, berkata tindakan pengusaha kupang membuang cengkerang kupang secara berterusan itu sudah membentuk longgokan besar di pinggir pulau timbul di antara Sungai Tebrau dan Sungai Pelentong .
Biasanya mereka mengambil kupang segar dari kawasan ternakan di Senibong sebelum direbus di jeti sekitar Bakar Batu. Selepas dikopek dan diambil isi, kulit kupang dibuang begitu saja.
Sudah terlalu lama perbuatan ini dilakukan pengusaha terbabit, hinggakan kulit kupang yang dibuang sudah membentuk kelihatan seperti busut jika dipandang dari jauh.
Bila air pasang penuh, kulit kupang terbabit akan dibawa arus masuk ke sungai dan keadaan ini menimbulkan masalah pada nelayan yang menebar jala serta memasang jaring, katanya sambil menunjukkan lokasi cengkerang kupang dan lokan itu dibuang.
Nasir yang juga Ahli Jawatankuasa Cawangan UMNO Bakar Batu, berkata sisa kupang itu tidak seharusnya dibuang dan dibiarkan begitu saja, sebaliknya perlu ada satu kaedah tidak merosakkan keadaan semula jadi di dasar dan sisir sungai.
Sewajarnya ada kaedah pelupusan sisa kupang ini dan pengusaha terbabit perlu lebih bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka. Jika setiap hari, beberapa tong kulit kupang dibuang, apa akan jadi apabila keadaan itu berterusan selama bertahun-tahun.
Perbuatan ini juga menyebabkan kawasan pesisir kampungan nelayan dan pantai di sini dipenuhi sisa kulit kupang yang berpunca daripada sikap mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya sambil menggesa Jabatan Perikanan turut meneroka industri hiliran berasaskan cengkerang kupang terbabit.
Ahli kelab kayak, Haqqul Qayuum, 21, yang sering berlatih di Sungai Tebrau dan Sungai Pelentong , menyifatkan perbuatan pihak tertentu melupuskan cengkerang kupang dengan membuangnya di kawasan terbabit sebagai perbuatan tidak bertanggung jawab.
Timbunan kulit kupang yang dibuang di tempat terbabit, makin lama semakin banyak hingga membusut di kawasan berkenaan.
"Pengusaha kupang itu jelas mementingkan keuntungan semata-mata tanpa prihatin terhadap alam sekitar dan masa sama, mengotorkan sungai," katanya.
Monday, October 17, 2011
Enakmen baru untuk kawasan rukun tetangga tak lama lagi
16/09/2011 6:48pm
KUALA LUMPUR 16 Sept – Enakmen baru bagi kawasan rukun tetangga (KRT) akan dibentang di Parlimen tidak lama bagi menggantikan enakmen sedia ada yang dibentangkan pada tahun 1975 di bawah Ordinan Darurat 1969.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, undang-undang baru itu juga akan meliputi Skim Rondaan Sukarela di bawah KRT.
"Kabinet bersetuju secara prinsipnya terhadap cadangan undang-undang baru ini, bagi mengukuhkan KRT dan SRS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi mengumumkan bahawa kerajaan akan membawa usul kepada Parlimen supaya tiga proklamasi darurat, termasuk Ordinan Darurat 1969, yang diisytihar dahulu dan dianggap masih berkuat kuasa sehingga kini, ditamatkan.
Tsu Koon berkata, beliau sudah mengatur perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung perkara itu. – Bernama
Kerajaan Gubal Akta Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menggubal akta baru untuk Rukun Tetangga (RT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi memperluaskan fungsi dan skop kedua-dua sistem itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Beliau berkata langkah mewujudkan undang-undang baru itu selaras perkembangan semasa dan penggubalannya perlu berikutan pemansuhan beberapa enakmen termasuk Ordinan Darurat.
"Sehubungan itu, kementerian mengalu-alukan cadangan semua pihak bagi meningkatkan keberkesanan RT dan SRS dalam akta yang akan digubal itu," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Dr Koh berkata kebanyakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan secara positif mengikut sasarannya sejak ditubuhkan pada 1975 mengikut Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 di bawah Ordinan Darurat 1969.
"KRT lebih menumpukan kepada pelbagai aktiviti yang dapat mempromosikan interaksi, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan, kejiranan, muhibbah, kerjasama, persefahaman, keharmonian dan perpaduan di kalangan penduduk di sesuatu kawasan," katanya.
Beliau berkata SRS, yang diperkenalkan mulai 2004, bertujuan melibatkan anggota jiran setempat membantu pihak polis menangani jenayah.
Katanya KRT dan SRS sentiasa sedia bekerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), persatuan penduduk dan badan-badan lain untuk meningkatkan keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan di kawasan berkenaan.
Bilangan KRT meningkat 37 peratus iaitu 5,456 pada Ogos lepas berbanding 3,995 pada awal 2009 manakala SRS bertambah daripada 1,248 kepada 2,698, meningkat 110 peratus, katanya.
"Ini merupakan dua rekod yang dicatat di bawah pentadbiran baru di bawah inisiatif-inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP)," katanya. -BERNAMA
Friday, August 19, 2011
Hanya 'Pure Creamery Butter-Golden Churn' Keluaran New Zealand Tidak Halal - JAKIM
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan hanya mentega jenama 'Pure Creamery Butter - Golden Churn Butter' keluaran syarikat Ballantyne Food Pty (New Zealand) tidak halal.
Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan JAKIM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kimia Malaysia, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Agama Islam Sarawak serta Jabatan Agama Islam Johor pada 8 Ogos lepas.
Sehubungan itu, JAKIM menegur media yang menyiarkan maklumat atau memaparkan gambar produk selain keluaran syarikat beralamat di Allen Street Morrinsville 3340, New Zealand berkenaan, katanya dalam kenyataan Jumaat.
Pada 19 Julai lepas, Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu, yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis, sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi DNA babi, menyebabkan industri makanan berkenaan terjejas.
-- BERNAMA
Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan JAKIM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kimia Malaysia, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Agama Islam Sarawak serta Jabatan Agama Islam Johor pada 8 Ogos lepas.
Sehubungan itu, JAKIM menegur media yang menyiarkan maklumat atau memaparkan gambar produk selain keluaran syarikat beralamat di Allen Street Morrinsville 3340, New Zealand berkenaan, katanya dalam kenyataan Jumaat.
Pada 19 Julai lepas, Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu, yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis, sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi DNA babi, menyebabkan industri makanan berkenaan terjejas.
-- BERNAMA
Sunday, August 14, 2011
Lelaki rentung selepas bersahur
JOHOR BAHARU: Seorang lelaki ditemui rentung dalam rumahnya yang musnah terbakar di sini, dalam kejadian awal pagi Sabtu.
Mayat Sabtu Hussein, 50, ditemui terbaring di atas tilam dalam bilik tidur rumahnya di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu, dipercayai tertidur selepas bersahur.
Ketua operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Baharu Raja Saiful Raja Iswandi berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.28 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira lapan minit kemudian.
Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, pihak bomba menemui mayat Sabtu yang tinggal bersendirian di rumah itu, katanya.
Raja Saiful berkata kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu, dan punca kebakaran masih disiasat. -BERNAMA
Mayat Sabtu Hussein, 50, ditemui terbaring di atas tilam dalam bilik tidur rumahnya di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu, dipercayai tertidur selepas bersahur.
Ketua operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Baharu Raja Saiful Raja Iswandi berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.28 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira lapan minit kemudian.
Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, pihak bomba menemui mayat Sabtu yang tinggal bersendirian di rumah itu, katanya.
Raja Saiful berkata kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu, dan punca kebakaran masih disiasat. -BERNAMA
Tragedi sahur
JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Tebrau Bakar Batu, di sini, gempar selepas juadah enak yang sedang dinikmati ketika bersahur terbantut dengan kebakaran melibatkan dua rumah dan mengorbankan nyawa seorang lelaki, awal pagi semalam.
Kejadian sekitar jam 5.25 pagi itu dipercayai bermula dari rumah mangsa, Sabtu Hussin, 57, sebelum ia merebak ke rumah bersebelahan yang didiami oleh anak saudara mangsa bersama suami dan dua cahaya mata.
Bagaimanapun, anak saudaranya, Sapiah Wan Hitam, 37, sekeluarga berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran yang hampir meragut nyawa mereka.
Kakak mangsa, Ramlah Hussin, 61, berkata, dia yang tinggal berhampiran dengan rumah pusaka yang didiami mangsa dimaklumkan berhubung kejadian menerusi panggilan telefon oleh anak perempuannya.
“Ketika kejadian, saya baru selesai bersahur dan sedang mengemas dapur. Ketika itu, saya menerima panggilan salah seorang anak saya memaklumkan kejadian kebakaran ini.
“Sebaik sahaja saya sampai di lokasi kejadian, rumah yang didiami arwah (Sabtu) sudah hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Ramlah berkata, Sabtu yang merupakan anak kelima daripada 12 adik-beradik itu tinggal di rumah pusaka peninggalan ibu bapa mereka secara seorang diri sejak bercerai dengan isterinya beberapa tahun lalu.
Katanya, adiknya itu yang pernah memandu teksi sebelum ini terpaksa berhenti kerja akibat daripada penyakit tibi tulang yang dihidapinya.
“Walaupun sedih dengan kematian adik saya, namun saya juga bersyukur kerana Sapiah, menantu dan dua cucu terselamat dalam kebakaran ini.
“Pilu juga hati mendengar rintihan Sapiah mengatakan wang tunai berjumlah RM1,000 diterima untuk persiapan hari raya dari suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut hangus terbakar,” katanya.
Anak saudara mangsa, Wan Suhaimi Wan Hitam, 38, berkata, hatinya rasa sedih melihat keadaan mangsa (Sabtu) yang rentung hangus terbakar selepas bomba berjaya memadamkan api.
“Sayu hati apabila terlihat rambut dan anggota badan mangsa yang terbakar dalam kejadian ini. Saya amat mengenali gaya tidur mengiringnya sebaik sahaja bomba selesai memadamkan api.
“Adik perempuan (Sapiah) berserta suami dan jiran cuba untuk membantu arwah, namun api marak begitu cepat membakar keseluruhan dua buah rumah dalam masa singkat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Johor Bahru, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Raja Saiful Iswandy Raja Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.28 pagi.
Katanya, api berjaya dikawal jam 5.42 pagi dan dipadamkan sepenuhnya jam 7.30 pagi.
“Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian ruang utama rumah sebelum ia merebak. Mayat mangsa ditemui terbaring di atas katil biliknya,” katanya.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat.
Sinar Harian
14 Ogos 2011
Sahur terakhir seorang duda
MAHMUD AHMAD menunjukkan tempat bapa saudaranya, Sabtu Husin ditemui mati rentung di tempat tidurnya akibat kebakaran di rumahnya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang duda berusia 57 tahun ditemui mati rentung di atas sebuah katil dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Bakar Batu, Permas Jaya dekat sini semalam.
Kejadian pukul 5.25 pagi itu menyebabkan mangsa, Sabtu Hussin yang tinggal bersendirian dalam sebuah rumah pusaka di kampung itu meninggal dunia selepas mengalami kecederaan teruk akibat terbakar.
Kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai baru sahaja selepas bersahur.
Bagaimanapun, anak saudara mangsa, Sapiah Wan Hitam, 37, suami dan dua anak mereka berusia lima tahun dan enam bulan yang tinggal bersebelahan berjaya menyelamatkan diri.
Kakak mangsa, Ramlah Hussin, 61, yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian berkata, dia hanya menyedari mengenai kebakaran itu selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya.
Kosmo
14 Ogos 2011
Kejadian pukul 5.25 pagi itu menyebabkan mangsa, Sabtu Hussin yang tinggal bersendirian dalam sebuah rumah pusaka di kampung itu meninggal dunia selepas mengalami kecederaan teruk akibat terbakar.
Kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai baru sahaja selepas bersahur.
Bagaimanapun, anak saudara mangsa, Sapiah Wan Hitam, 37, suami dan dua anak mereka berusia lima tahun dan enam bulan yang tinggal bersebelahan berjaya menyelamatkan diri.
Kakak mangsa, Ramlah Hussin, 61, yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian berkata, dia hanya menyedari mengenai kebakaran itu selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya.
Kosmo
14 Ogos 2011
Subscribe to:
Comments (Atom)


